TERIMA KASIH PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DUA pekerja balak yang dilaporkan terjatuh dari perahu di Sungai Baleh di Kapit, Khamis lalu, ditemui lemas sepasukan anggota bomba, hari ini.

Mayat Gomes Hillary Jugah, 35, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), pada 11.20 pagi.

Mayat Tang Choo Yew, 33, puka ditemui, pada 1.26 tengah hari.

Ketua Polis Kapit, Deputi Superintedan Freddy Bian, berkata mayat pertama ditemui terapung di kawasan Pulau Wun yang terletak dua jam perjalanan dari lokasi perahu itu karam.

Katanya, mayat itu ditemui sekumpulan pekerja syarikat balak yang turut terbabit dalam SAR.

Menurutnya, mayat Choo Yew pula ditemui penduduk kampung di kawasan tebing Sungai Baleh berhampiran Sempilih tersangkut pada kayu hanyut.

“Polis dan bomba yang menjalankan SAR kemudiannya dipanggil ke lokasi itu untuk mengangkat mayat sebelum dihantar ke Hospital Kapit.

“Keadaan air Sungai Baleh yang deras kerana hujan di kawasan Hulu Baleh menyebabkan mayat ditemui jauh dari lokasi perahu berkenaan karam,” katanya.

Freddy berkata, operasi SAR yang disertai penduduk kampung, pekerja syarikat balak, polis dan bomba ditamatkan, pada kira-kira 3 petang.

Dalam kejadian Khamis lalu, perahu yang dinaiki lima pekerja syarikat balak karam selepas dipukul arus deras ketika menyeberangi Sungai Baleh.

Bagaimanapun, tiga lelaki termasuk pemandu bot berjaya berenang ke tebing sungai manakala dua mangsa hanyut dibawa arus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 5:05 PM