ANGGOTA Bomba sedang menjalankan kerja mengeluarkan mangsa. TERIMA KASIH Bomba dan Penyelamat Malaysia
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


WANITA warga emas maut, empat cedera dalam kemalangan MPV dan lori di KM21 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat Gerik, hari ini.

Che Zainab Salleh, 69, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya yang juga pemandu Perodua Alza luka di badan dalam kemalangan pada 1.30 tengah hari.

Tiga cucu mangsa berusia enam hingga 12 tahun turut cedera manakala seorang lagi cucunya lima tahun terselamat.

Ketua Polis Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata pemandu serta kelindan lori berusia 31 dan 27 tahun juga tidak cedera.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Alza dari arah Gerik ke Jeli itu dipercayai hilang kawalan, berpusing ketika melalui selekoh sebelum masuk laluan bertentangan.

“Perodua Alza itu kemudiannya melanggar lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

“Disebabkan jarak terlalu dekat menyebabkan lori terbabit gagal mengelak.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gerik manakala semua yang cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Ismail Che Isa berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 9:55 PM