Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Ranau: Gempa bumi bermagnitud 5.9 di Ranau pada 5 Jun 2015 bukan saja mengorbankan 18 nyawa termasuk pendaki dan malim gunung serta mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di Sabah, tetapi juga memberi impak yang besar kepada habitat tumbuhan.

Ini memandangkan kebanyakan tumbuhan terutamanya di Gunung Kinabalu, antara lokasi yang terjejas teruk akibat bencana itu mengalami kerosakan.

Ia sekali gus memberi ancaman kepada tumbuhan berkenaan yang boleh mati apabila habitat semula jadi berubah.

Tidak ramai yang mengetahui selepas seminggu tragedi gempa bumi itu, Taman-Taman Sabah yang berperanan melindungi dan memulihara kawasan semula jadi, menerusi Bahagian Penyelidikan dan Pendidikannya menggerakkan satu program khas dikenali sebagai Op Rescue Tumbuhan.

Ia bertujuan mengurangkan kadar kemusnahan tumbuhan yang terdapat di kawasan Gunung Kinabalu susulan gempa bumi itu.

Dalam melaksanakan misi itu, kumpulan penyelidik yang diketuai Pegawai Penyelidik (Botani) Taman-Taman Sabah Matsain Mohd Buang berdepan pelbagai rintangan termasuk cuaca sejak, angin kencang, hujan batu, gegaran serta kejadian mistik.

Hasilnya, sebanyak 24,028 pokok orkid dan 63 pokok kumpulan bukan orkid sudah dipindahkan ke kawasan terpilih.

Semua tumbuhan yang dipindahkan tumbuh dengan baik.

Penulis bersama jurugambar Edmund Samunting yang melakukan tinjauan di Taman Kinabalu, baru-baru ini, mendapati keadaan tumbuhan terutama pokok orkid yang diselamatkan menerusi Op Rescue Tumbuhan membesar dengan baik.

Ia selepas melalui kaedah penanaman semula yang sesuai dan pemilihan kawasan yang sama dengan habitat asal tumbuhan.

Matsain berkata, Op Rescue Tumbuhan bertujuan memindahkan tumbuhan di kawasan tanah runtuh untuk mengurangkan jumlah kadar kematian tumbuhan di kawasan yang rosak ketika gempa bumi.

Selain itu katanya, ia bagi memastikan supaya tumbuhan berada di kawasan habitat yang rosak tidak akan mengalami kepupusan.

“Sebelum operasi itu dijalankan, kita melakukan tinjauan selama tiga hari bermula 27 Julai 2015. Ia dijalankan oleh lima kakitangan Unit Botani Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman Kinabalu.

“Tujuannya bagi mengenal pasti lokasi yang mengalami kerosakan vegetasi selepas gempa bumi pada 5 Jun 2015. Ia, sekali gus mengenal pasti keperluan kerja dan peralatan yang perlu dibawa ketika Op Rescue Tumbuhan.

“Kaedah yang digunakan ketika operasi itu semua tumbuhan yang dipindahkan, ditanam semula di kawasan yang sesuai.

“Kumpulan tumbuhan di atas tanah ditanam jauh dari kawasan tapak laluan baru selain jauh dari kawasan vegetasi (tumbuhan) yang rosak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Katanya, Op Rescue Tumbuhan meliputi kawasan sekitar bangunan penginapan di Panar Laban, Gunting Lagadan hingga ke kawasan yang berhampiran dengan Kilometer 6.5 iaitu kawasan laluan lama ke puncak Gunung Kinabalu.

“Lokasi lain juga di kawasan sepanjang laluan baru ke Gunung Kinabalu iaitu Ranau Trail.

“Ia dijalankan sebanyak empat siri. Siri pertama dilaksanakan pada 20 hingga 23 September 2015 membabitkan empat kakitangan Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman Kinabalu dan dua penuntut dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Unit Botani Taman Kinabalu.

“Sebanyak 3,501 pokok orkid yang tergolong dalam dua spesies iaitu Ascideria Grandis’ dan Dendrochilum Grandiflorum’ yang diambil di kawasan runtuhan berhampiran dengan Kilometer 6.5 dan dipindahkan ke kawasan berhampiran dengan kawasan bangunan penginapan Gunting Lagadan.

“Di lokasi kejadian di laluan pendakian baru di Gunung Kinabalu, sebanyak 4,480 pokok orkid daripada spesies Dendrochilum Grandiflorum diselamatkan dan dipindahkan dari kawasan asal ke tempat yang lebih selamat,” katanya.

Matsain berkata, siri dua operasi itu dilaksanakan 28 September 2015 yang mengambil masa lima hari dan meliputi laluan baru ke puncak Gunung Kinabalu.

Ia membabitkan tiga kakitangan dari Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman Kinabalu.

“Hasil Ops Rescue Tumbuhan itu, sebanyak 7,743 pokok orkid dari spesies Dendrochilum Grandiflorum, 66 pokok dari Bulbophyllum sp dan 1,655 pokok daripada Ascideria Grandis diselamatkan dan ditanam berhampiran dengan habitat asal di laluan baru.

“Siri ketiga operasi itu mengambil masa empat hari bermula 6 Oktober 2015 juga di kawasan Trail Ranau. Ia membabitkan tujuh kakitangan Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman Kinabalu.

“Ketika operasi itu dilaksanakan, sebanyak 2,620 pokok orkid daripada spesies Coelogyne Papilosa dan 48 pokok daripada kumpulan bukan orkid iaitu Euphrasia Borneensis’. Semua dipindahkan ke kawasan berhampiran habitat asal.

“Siri keempat bermula 18 November 2015 selama empat hari yang tertumpu di kawasan berhampiran bangunan Pendant Hut dan kawasan puncak Gunung Kinabalu iaitu kawasan tapak pemasangan papan tanda.

“Ia membabitkan tiga orang dari Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman Kinabalu dan kakitangan dari Unit Perlindungan dan Penguatkuasaan Taman Kinabalu.

“Ketika operasi di kawasan berhampiran bangunan Pendant Hut, sebanyak 2,250 pokok orkid dari spesies Coelogyne Papilosa dipindahkan ke kawasan berhampiran dengan habitat asal.

“Operasi di kawasan puncak Gunung Kinabalu Low’s Peak, sebanyak 15 pokok daripada kumpulan bukan orkid iaitu Deschampsia Flexuosa dipindahkan lima meter dari kawasan tapak pemasangan papan tanda,” katanya.

Beliau berkata, menerusi operasi itu, teknik penanaman juga diambil kira dan kaedah yang betul perlu dititikberatkan supaya tumbuhan yang diselamatkan dapat terus hidup.

“Setiap tumbuhan orkid yang diselamatkan perlu diikat dengan benang dengan kuat kerana bimbang ia tertanggal disebabkan faktor angin yang kuat,” katanya.

Sementara itu, mengenai cabaran ketika Op Rescue Tumbuhan, Matsain berkata, gempa bumi pada 5 Jun 2015 lalu memberi kesan kepada semua kakitangan di Taman Kinabalu dan sehingga operasi itu dilaksanakan, mereka masih dalam keadaan trauma.

“Ketika kerja Op Rescue Tumbuhan, beberapa cabaran yang terpaksa dialami antaranya gegaran masih berlaku namun ia dalam skala kecil tetapi mengganggu keselesaan kumpulan yang menjalankan operasi kerana dikhuatiri berlaku runtuhan batu.

“Selain itu, keadaan laluan baru yang licin dan curam. Ditambah dengan keadaan angin yang kencang dan amat sejuk mengganggu operasi menyelamat tumbuhan yang terjejas.

“Bukan itu saja, ketika siri pertama dijalankan, berlaku hujan batu menyebabkan kakitangan mengalami sakit badan akibat terkena hujan batu.

“Bagaimanapun, sepanjang Op Rescue Tumbuhan dijalankan, tiada kemalangan jiwa. Ketika operasi itu hendak dilaksanakan, kita utamakan aspek keselamatan yang tinggi termasuk cara menyelamatkan diri ketika berlaku sebarang bencana, kelengkapan baju, topi keledar turut dititikberatkan,” katanya.

Menurutnya, adakalanya, kakitangan bertugas terpaksa bermalam di Gunung Kinabalu selama seminggu bagi memastikan tumbuhan yang rosak akibat gempa bumi dapat diselamatkan.

“Ini kerana tumbuhan terutama orkid yang terdedah dan tercabut akibat gempa bumi, jika tempoh seminggu tidak diselamatkan ia akan mati sekali gus mengganggu ekosistem tumbuhan di Gunung Kinabalu.

“Walaupun terpaksa bermalam di Laban Rata dalam keadaan berhati-hati kerana masih terdapat gegaran... mereka hanya berdoa dan berserah kepada Allah SWT.

“Tidak dinafikan juga, terdapat gangguan mistik, namun ia tidak dapat dibuktikan secara sainstifik...tetapi semua tidak tidak mematahkan semangat kumpulan penyelamat dalam Op Rescue Tumbuhan untuk menyelamatkan tumbuhan yang terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 9:56 AM