Keadaan banjir termenung di Jalan Pasir Mas-Tumpat di Kampung Banggol Beta, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEADAAN cuaca di Kelantan yang semakin baik membolehkan jumlah mangsa banjir turun kepada 10,122 orang pada 3 petang ini berbanding 10,619 mangsa 9 pagi hari ini.

Semua mangsa membabitkan 4,168 keluarga yang ditempatkan di 32 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

Penurunan jumlah mangsa itu juga disebabkan PPS di Tanah Merah sudah ditutup sepenuhnya.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 6,266 orang di 21 PPS.

Diikuti Tumpat 3,738 orang, Pasir Puteh (24) dan Kota Bharu (94).

Sementara itu, paras air Sungai Golok terus menurun namun masih melebihi paras bahaya dengan bacaan 10.19 meter (m) berbanding 10.24m pagi tadi.

Manakala, sebanyak 15 jalan yang masih ditutup kepada kenderaan iaitu sembilan di Pasir Mas, empat di Tumpat dan masing-masing satu di Gua Musang dan Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 4:10 PM