Mohammad Hakimi Yusoff, 24, tekong bot yang terbalik di muara sungai Kuala Merang, Permaisuri, hari ini. = Foto NURUL FATIHAH SULAINI/Ihsan Pembaca
Nurul Fatihah Sulaini


"SAYA bersyukur kerana kami semua selamat walaupun terapung lebih sejam di laut," kata Mohammad Hakimi Yusoff, 24, antara mangsa bot yang terbalik kira-kira 200 meter dari muara sungai Kuala Merang, Permaisuri, Setiu, hari ini.

Mohammad Hakimi yang juga tekong bersama enam nelayan, terapung selepas bot gentian kaca dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak.

Kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah hari ketika Mohammad Hakimi bersama enam kru berusia antara 24 hingga 43 tahun dalam perjalanan menghantar barang dari Pulau Redang ke Jeti Merang, di sini.

Mohammad Hakimi berkata, ketika kejadian, muara sungai cetek namun arus sungai deras dan laut bergelora.

"Bot yang membawa muatan sampah dan ikan kira-kira 300 kilogram (kg), tersangkut tidak dapat bergerak ke muara.

"Ketika berusaha untuk melepasi muara yang cetek itu, tiba-tiba bot kami dibadai ombak beberapa kali lalu terbalik," katanya yang ditemui di Jeti Merang.

Menurutnya, pukulan ombak turut menyebabkan bot dan mereka dihanyutkan ombak lebih 100 meter.

“Semua kru termasuk saya terapung lebih sejam di laut sebelum dibantu nelayan.

“Saya yang terakhir keluar dari bawah bot kerana perlu memastikan semua kru selamat dan sempat memeriksa keadaan bot sebelum keluar," katanya.

Mohammad Hakimi berkata, lebih 20 nelayan tempatan membantu mengangkat bot yang mengambil masa lebih sejam jam dan ditunda ke jeti.

"Kerugian dianggar sekitar RM150,000 kerana banyak kerosakan, termasuk kanopi, stereng, enjin serta kelengkapan lain," katanya.

Katanya, ia kejadian pertama menimpa dirinya sepanjang lebih dua tahun mengendalikan bot berkenaan namun kejadian itu tidak membuatkannya serik untuk ke laut selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 6:31 PM