KAKITANGAN Taman-Taman Sabah yang terbabit Ops Rescue Tumbuhan selepas gempa bumi 5 Jun 2015.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Ranau: Meskipun berdepan situasi angin kencang, hujan batu dan ais serta gegaran susulan gempa bumi bermagnitud 5.9 di Ranau, 5 Jun 2015 lalu, kakitangan Taman-Taman Sabah dari Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman Kinabalu tetap meneruskan Ops Rescue Tumbuhan.

Biarpun Ops Rescue Tumbuhan dilaksanakan seminggu selepas gempa bumi sehingga meragut 18 nyawa termasuk rakan sendiri, atas dasar tanggungjawab, mereka melaksanakan operasi itu sehingga berjaya.

Bukan itu saja, walaupun Ops Rescue Tumbuhan kurang diketahui dan tidak ‘sehebat’ operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi, namun ia amat penting dalam melindungi dan memulihara kawasan semula jadi di Taman Kinabalu.

Menurut Kinahim Sampang, antara kakitangan Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman Kinabalu yang menyertai Ops Rescue Tumbuhan walaupun usianya sudah menjangkau 54 tahun, dia tetap menyertai operasi berkenaan.

Katanya, ketika menerima arahan untuk menyertai Ops Rescue Tumbuhan, apa yang terlintas di fikirannya adalah keadaan di Gunung Kinabalu yang masih belum stabil dengan beberapa gegaran susulan.


KAKITANGAN Taman-Taman Sabah merancang perjalanan ketika melalui laluan Gunung Kinabalu.

“Saya mengikut Ops Rescue Tumbuhan sebanyak dua kali. Pertama, pada 27 Julai 2015 lalu. Ketika itu saya bersama dengan lima rakan sekerja melakukan tinjauan kerosakan tumbuhan di sepanjang laluan pendakian di Gunung Kinabalu dan terdapat beberapa gegaran.

“Tipulah kalau saya kata tidak takut tetapi disebabkan tanggungjawab dan amanah, saya bersama empat rakan meneruskan tinjauan walaupun terdapat gegaran.

“Pada saya, ajal boleh berlaku pada bila-bila masa saja.

“Syukur, tinjauan pertama kali berjalan lancar dengan semua aspek keselamatan pada tahap yang tinggi,” katanya.


KAKITANGAN Taman-Taman Sabah merakam kerosakan laluan pendakian.

Kinahim yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun di Taman Kinabalu berkata, kali kedua dia mengikuti Ops Rescue Tumbuhan adalah pada 28 November 2015 yang membabitkan lima hari di kawasan laluan baru (Trail Ranau) ke puncak Gunung Kinabalu.

“Ketika operasi kedua ini, banyak cabaran dilalui iaitu keadaan angin kencang, hujan serta jalan yang licin. Saya beberapa kali terjatuh tetapi tidak mengalami kecederaan yang serius kerana dilengkapi dengan peralatan keselamatan.

“Ketika operasi siri kedua ini juga saya bersama rakan iaitu Duni Molidin dan Sukaibin Sumail berdepan dengan situasi pelik...tetapi cukup jika perkara itu kami saja yang tahu,” katanya.

Rakannya, Sukaibin, 45, pula berkata, dia turut menyertai dua siri operasi dan masih ingat amat berat hati ketika menyertai operasi itu pada kali pertama.

Katanya, ia memandangkan gegaran susulan masih dirasai, namun melihat rakan lain yang bersemangat mereka meneruskan Ops Rescue Tumbuhan di kawasan laluan baru atau Trail Ranau.


NEPENTHES SP atau periuk kera antara tumbuhan yang turut terjejas akibat gempa bumi 5 Jun 2015.

“Ketika melakukan pemindahan tumbuhan orkid yang terjejas, saya bersama dua lagi rakan dikejutkan dengan dentuman kuat serta gegaran selama beberapa saat.

“Situasi itu menyebabkan kami mencari perlindungan. Nasib baik, sebelum kami menjalankan operasi, kami sudah menerima taklimat berhubung langkah perlu diambil jika berlaku sebarang bencana di gunung.

“Syukur kami semua selamat tetapi kami agak trauma mendengar dentuman kuat, lebih-lebih lagi ketika berada di atas gunung,” katanya.

Katanya, antara cabaran yang tidak dapat dilupakan apabila kejadian cuaca sejuk menyebabkan kumpulan mereka mengalami kekurangan oksigen.

“Walaupun Ops Rescue Tumbuhan tidak berbahaya seperti operasi mencari dan menyelamat mangsa yang mana pasukan penyelamat melihat mayat dan cebisan daging manusia, namun kami turut merasainya apabila melihat keadaan kemusnahan tumbuhan di kawasan Gunung Kinabalu,” katanya.


ORKID yang terdapat di kawasan Kebun Botani Taman Kinabalu, Kundasang Ranau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:22 AM