RAZAK (kanan) meneyerahkan tugas kepada Dzulkhairisambil disaksikan Mohd Kamarudin. FOTO Mohd Sabran MdSani
RAZAK (kanan) meneyerahkan tugas kepada Dzulkhairisambil disaksikan Mohd Kamarudin. FOTO Mohd Sabran MdSani
Mohd Sabran Md Sani


KETUA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, 42, dilantik Ketua Polis Daerah Kulai baru berkuat kuasa hari ini.

Dzulkhairi mengambil alih jawatan sama pernah dipegang Superintendan Razak Md Said.

Berikutan pertukaran itu, ketua polis IPD Kulai itu memikul tugas sebagai ketua jabatan JSPT di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din di Dewan Alamanda, IPD Kulai, hari ini.

Terdahulu Mohd Kamarudin berkata, kedua-dua anggota berkenaan menampilkan prestasi kerja yang memberansangkan selain mempunyai nilai integriti tinggi ketika menjalankan tugas.

"Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Superintendan Razak yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang di sini.

"Pada masa sama, saya yakin ketua polis selepas ini akan turut menunjukkan prestasi yang sama," katanya dalam ucapannya pada majlis itu, hari ini.

Beliau berkata, jasa Razak kepada IPD Kulai tidak dinafikan terutama dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini.

“Semestinya dalam tempoh beliau berkhidmat di sini, banyak kejayaan yang berjaya dicapai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Beliau juga sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan selama ini," katanya.

Beliau berkata, Polis Johor sentiasa memegang visi memastikan kadar jenayah dapat dikurangkan selain menjaga ketenteraman masyarakat setempat.

"Kita melihat perubahan yang bagus di sini, tetapi sudah tentu pencapaian beliau (Razak) dan karismanya sebagai pemimpin dalam menggerakkan IPD ini akan sentiasa dihargai,” katanya.

Berdasarkan rekod, Razak memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Kulai bermula 26 Februari 2015.

Manakala Dzulkhairi yang berkhidmat dengan PDRM lebih 17 tahun memegang jawatan Ketua JSPT IPK Johor kira-kira 11 bulan bermula 15 Januari lalu.

Dzulkhairi yang berasal dari Lembah Keramat Kuala Lumpur pernah memegang jawatan Pegawai Turus Perlesenan IPK Kuala Lumpur selama tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 12:02 PM