Suspek (baju lokap jingga) diiringi anggota polis ketika dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LELAKI berusia 42 tahun yang menikam pemandu bas ekspres di Terminal Bas Ekspres Bukit Lagi, Kangar, 16 November lalu ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, suspek ditahan di rumah keluarganya di Kaki Bukit, kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, suspek yang berniaga sendiri di Johor Bahru dipercayai bersembunyi di sekitar negeri ini selain turut ke beberapa negeri bagi mengelak diberkas.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah serta beberapa jenayah lain di Johor.

“Pada hari kejadian, suspek dalam perjalanan pulang ke kampung melawat keluarga dan sanak-saudaranya di sini, dengan menaiki bas ekspres dari Johor Bahru,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Beliau berkata, suspek dikatakan berang selepas ditinggalkan di Alor Setar menyebabkannya terpaksa mengeluarkan sejumlah wang menaiki teksi ke Kangar sebelum bertindak menikam mangsa.

“Suspek direman mulai hari ini hingga 7 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap mangsa,” katanya.

Portal Berita Harian Metro, 16 November lalu melaporkan seorang penumpang menikam pemandu bas ekspres di belakang badan dengan pisau di Stesen Bas Ekspres Bukit Lagi, Kangar selepas dipercayai berang ditinggalkan ketika berhenti di terminal bas di Alor Setar.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Mohd Fakhri Yahya, 33, cedera di belakang bahu kiri dan menerima tiga jahitan akibat ditikam penumpang yang dibawanya dari Larkin, Johor Bahru.

Berita berkaitan

Kena tinggal, naik teksi, cari, tikam....

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 2:11 PM