Mangsa cuba diperkosa ketika bersendirian di rumah.
Syazwan Msar

 

[email protected]

GAGAL mengawal nafsu menyebabkan seorang lelaki tergamak cuba memperkosa

sepupu isterinya ketika mangsa berkunjung ke rumah pasangan itu minggu lalu.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 22 tahun berasal dari Gurun, Kedah datang ke rumah suspek di Ampang di sini, berikutan cuti hujung minggu selain mahu membeli beberapa barangan keperluan di ibu kota.

Namun ketika isteri suspek keluar bekerja, lelaki berusia lingkungan 30-an itu masuk ke bilik mangsa sebelum mencium dan meraba wanita itu.

“Difahamkan suspek yang tidak bekerja sebelum itu pernah menghantar pesanan ringkas kepada mangsa selain mengajak mangsa melakukan hubungan seks.

“Mangsa tidak membalas pesanan ringkas itu menyebabkan suspek terus masuk ke biliknya dan cuba memperkosa mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang meronta kemudian berjaya melarikan diri sebelum menghubungi ahli keluarga bagi memaklumkan kejadian yang berlaku.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang masih belum berkahwin turut bertindak membuat laporan di Balai Polis Pandan Perdana di sini, untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan sedang dilakukan pihaknya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:10 PM