Mohd Nasif BadruddinFairul Asmaini Mohd PilusSuraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Aspek keselamatan menjadi keutamaan sepanjang lima hari Perhimpunan Agong UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula semalam.

Setiap perwakilan mahupun petugas diwajibkan memakai pas pengenalan diri dilengkapi ciri Radio Frequency Identification (RFID) sepanjang perhimpunan manakala hanya pintu tertentu ditetapkan untuk ke dewan persidangan.

Ketua Pegawai Eksekutif PWTC Datuk Shamsul Kamar Ahmad berkata, menerusi penggunaan pas pengenalan, perwakilan dan petugas sudah tidak perlu melakukan pengimbasan keselamatan secara manual sebaliknya hanya perlu melalui mesin disediakan.

“Kami masih mengekalkan sistem keselamatan menggunakan pengimbas moden di laluan utama di pintu masuk, aras tiga dan aras empat PWTC.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memeriksa tahap keselamatan menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

“Secara keseluruhan, empat mesin X-ray, tujuh pengimbas berpagar, 14 mesin pengesan logam tangan dan empat cermin pandangan bawah digunakan sepanjang perhimpunan.

“Ia bagi membantu mengurangkan kesesakan di pintu utama,” katanya.

Seramai 1,200 anggota polis, 400 RELA, 40 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 35 anggota bomba dan penyelamat terbabit mengawal keselamatan.

Tidak ketinggalan, 50 pengawal keselamatan PWTC dan 40 kakitangan perubatan disediakan bagi memastikan kelancaran perhimpunan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 9:54 AM