Ibrahim Deraman menjenguk 10 kerbaunya di Jalan Kesban, Pengkalan Kubor, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


JALAN Kesban, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sepanjang lebih 10 kilometer menjadi tempat pengumpulan haiwan ternakan ketika banjir sejak minggu lalu.

Lokasi itu yang mempunyai padang ragut menjadi pilihan penternak untuk memindahkan ternakan mereka seperti lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.

Tinjauan mendapati, kira-kira 100 ternakan ditempatkan di situ oleh penduduk Kampung Bendang Pak Yong, Simpangan, Kubang Sawa, Derdap dan sekitarnya.

Penternak dari Kampung Simpangan, Ibrahim Deraman, 67, berkata, 10 kerbaunya dipindahkan ke lokasi berkenaan yang terletak 200 meter dari rumahnya sejak Jumaat lalu.

“Sudah 10 tahun saya menternak kerbau dan semuanya akan dipindahkan ke sini setiap kali banjir kerana ia antara lokasi yang selamat daripada ditenggelami banjir.

“Selalunya, apabila hujan berterusan, kami bersiap untuk pindahkan ternakan terlebih dulu, kawasan ini berumput, jadi tak bimbang ternakan tak makan,” katanya ditemui.

Menurutnya, dia akan menjenguk ternakannya dua kali sehari.

“Saya juga bersyukur kerana rumah terletak berhampiran Sungai Golok dan ia membolehkan banjir cepat surut.

“Namun begitu, ada rakan lain yang terpaksa berjauhan daripada ternakan sehingga sebulan disebabkan banjir termenung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 12:10 PM