Anggota polis Cawangan Khas (E8) Bukit Aman membawa ketiga-tiga tertuduh (dari kiri), kontraktor, Ahmad Azmi, 24; bekas tentera, Mahadi Ibrahim, 34, serta Muhamad Hafizi, 19, (kanan) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Maiamalina Mohamed Amin


PELAJAR lelaki tingkatan enam yang sebelum ini mengaku salah terhadap tuduhan memiliki dua butir bom buatan sendiri, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Bom itu dipercayai untuk digunakan bagi serangan di pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’, Oktober lalu.

Mohd Hafizi Mat Jusoh, 19, yang juga calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menukar pengakuannya di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman itu didakwa memiliki dua butir bom ‘improvised explosive device (IED)’ di rumahnya di Kampung Merkang, Pasir Puteh, jam 6.05 petang, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minuman enam sebatan.

Mahkamah menetapkan 11 Januari untuk sebutan semula kes dan tertuduh diwakili Arif Azami Hussein.

Tertuduh yang dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan pengganas sejak berusia 12 tahun turut berdepan empat tuduhan lain iaitu terbabit dengan aktiviti pengganas Daish.

Bagi empat tuduhan itu, remaja berkenaan didakwa memiliki gambar, video dan dokumen; memaparkan bahan berkaitan kumpulan pengganas; memberi latihan menerusi WhatsApp dan hadir di tempat latihan pengganas Daish.

Dia didakwa masing-masing mengikut Seksyen 130JB(1)(a), 130JB(1)(b), 130F(a) dan 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dua lagi rakan tertuduh, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24, dan Mahadi Ibrahim, 34, yang masing-masing berdepan tiga dan dua tuduhan berasingan berkait kumpulan pengganas Daish turut didakwa di mahkamah sama.

Bagaimanapun, tiada keterangan direkodkan dan kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Mahkamah menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan permohonan pemindahan bagi tuduhan kumpulan Daish ke Mahkamah Putrajaya untuk dibicarakan serentak.

Berita berkaitan

Pelajar mengaku miliki bom

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 12:13 PM