Izlaily Nurul Ain Hussein


LIMA individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor hari ini, atas lapan tuduhan memperdagangkan lapan wanita warga India bagi tujuan eksploitasi seks.

Mahendran Shanti, 37, Natarajan Muppiliyan, 37, V Kumar, 41, dan Ferozkhan Nasar Deen, 34, kesemuanya warga India, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Kamarudin Kamsun.

Turut mengaku tidak bersalah, warga tempatan, CT Moses, 49, berasal dari Pasir Gudang, Johor.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa memperdagangkan lapan wanita warga India berusia 26 tahun hingga 40 tahun bagi maksud eksploitasi perkhidmatan seks.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di kaki lima Jalan Wong Ah Fook dan di rumah di Bayu Puteri 1, Taman Bayu Puteri, Johor Bahru, pada tengah malam antara 15 Mac lalu hingga 23 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafiauddin manakala hanya tertuduh pertama dan keempat yang diwakili peguam Mohd Arif Aizuddun Masrom dan yang lain tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Suhaila tidak menawarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh memandangkan majoriti mereka bukan warga negara dan berpotensi untuk melarikan diri.

“Saya mencadangkan supaya jaminan tidak diberikan kepada tertuduh memandangkan mereka bukan warga negara dan berisiko untuk menghilangkan diri walaupun pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

“Pihak pendakwaan juga bimbang sekiranya tertuduh dilepaskan kerana mereka mungkin akan mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Kamarudin kemudian bersetuju tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap semua tertuduh dan menetapkan 22 hingga 24 Januari 2018 untuk sebutan semula kes serta deposisi mangsa dan saksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 4:27 PM