Ng Choon Way ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya di Taman Kampung Majid, Kluang, 6.45 petang, semalam. FOTO ihsan PDRM
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


WANITA berusia 55 tahun ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya di Taman Kampung Majid, Kluang, 6.45 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, lelaki yang juga jiran wanita itu membuat laporan polis selepas tidak melihat wanita terbabit selama tiga hari.

Katanya, sepasukan anggota polis ke rumah wanita itu namun berkunci.

"Wanita dikenali sebagai Ng Choon Way dikatakan tidak kelihatan sejak tiga hari lalu dan kami terpaksa mendapatkan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang untuk membuka pintu rumahnya.

"Sebaik pintu dibuka, anggota menghidu bau busuk dan siasatan menemui mangsa dalam keadaan terlentang di dalam bilik tidur.

"Anggota menghubungi pasukan perubatan yang mengesahkan mangsa sudahmeninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat yang berbau pihaknya percaya mangsa meninggal dunia sejak dua atau tiga hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan tempoh sebenar kematiannya.

"Kami kini berusaha mengesan waris mangsa bagi membolehkan mayat dituntut sebaik bedah siasat selesai.

"Buat masa ini, kami mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut namun menunggu laporan perubatan untuk tindakan lanjut.

"Berikutan itu, orang ramai yang mengenali keluarga mangsa diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 12:10 AM