DR Aizan (tiga dari kiri) menerima anugerah daripada Najib di PWTC, semalam.
DR Aizan (tiga dari kiri) menerima anugerah daripada Najib di PWTC, semalam.
Mohd Nasif BadruddinFairul Asmaini Mohd PilusSuraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Cekal dan penuh wawasan. Meskipun, disahkan menghidap kanser tulang ketika usia baru mencapai 14 tahun dan dua tahun kemudian bergelar orang kurang upaya (OKU) selepas kaki kanannya dipotong akibat penyakit berkenaan, semangat Dr Aizan Sofia Amin, 34, tidak pernah luntur.

Walaupun dalam serba kekurangan, anak jati Puchong, Selangor itu tidak menjadikan ia halangan sebaliknya terus cemerlang dalam pelajaran hingga melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti of Glasgow, United Kingdom dalam pengkhususan kajian mengenai golongan kurang upaya.

Menurut Dr Aizan, pada awalnya diakui sukar dirinya menerima keadaan (bergelar OKU) lebih-lebih lagi berdepan persepsi masyarakat, tetapi dengan sokongan keluarga dan rakan, dia menerima dengan reda takdir yang tertulis untuknya.

Dr Aizan berkata, dia tidak mahu menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk mencapai impian hidup dan mahu wanita cekal berusaha menggapai cita-cita masing-masing.

“Walau sesukar mana sekali pun dugaan mendatang, kita perlu menghadapinya dengan hati terbuka.

“Apa yang penting, tidak sesekali berasa rendah diri kerana di sebalik kekurangan diri, mungkin ada kelebihan tersendiri yang hanya diketahui Allah SWT,” katanya.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dipilih penerima Anugerah Ikon Wanita Muda 2017 kategori kajian dan penyelidikan oleh Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Selain Aizan, lima lagi wanita cemerlang turut dipilih menerima anugerah berkenaan mengikut kategori disediakan iaitu Emma Firyana Saroji (Sukan), Nur Zalikha Mohd Sabri (Usahawan), Datuk Hanimzah Jalaludin (Agama), Wan Noraini Zainurian (Anugerah Khas) serta selebriti terkenal Sherry Al- Hadad (Seni).

Semua anugerah disampaikan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Turut hadir Naib Presiden Datuk Seri Hishamuddin Hussein serta Ketua Puteri UMNO Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, kecemerlangan Dr Aizan turut melayakkan beliau dipilih menerima Anugerah Khas OKU (Kategori Akademik) sempena sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2015 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau turut dilantik sebagai Ahli Majlis Kebangsaan Bagi OKU oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Duta Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Mengulas mengenai anugerah berkenaan, Dr Aizan berkata, apa yang dikecapi hari ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan tidak berbelah bagi daripada keluarga, rakan serta pihak universiti.

“Saya sama sekali tidak menduga dipilih menerima penghargaan daripada Puteri UMNO,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 9:25 AM