Bot pukat rawa sorong yang ditahan APMM Lumut. FOTO ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


DUA bot pukat rawa sorong bersama dua tekong dan dua awak-awak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kira-kira satu batu nautika di selatan Pulau Pasir Hitam berhampiran Bagan Panchor, Pantai Remis, Manjung, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, dua bot berkenaan ditahan secara berasingan.

APMM Daerah Maritim 3 (DM3) Lumut dalam satu kenyataan berkata, bot berkenaan ditahan sepasukan anggota Bot Petir 80 yang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan berkenaan.

Menurutnya, ketika ditahan, nelayan dalam bot itu dipercayai sedang menangkap ikan dan pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Selain itu, bot berkenaaan juga didapati tiada lesen menangkap ikan yang sah.

“Dua tekong dan dua awak-awak warga tempatan berusia 14 hingga 23 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” kata kenyataan itu.

Dalam operasi berasingan, DM3 Lumut melalui Kapal Maritim Tugau berjaya menahan empat nelayan tempatan dipercayai penagih dadah, kira-kira dua batu nautika dari timur laut Pulau Pangkor.

Ujian air kencing dijalankan mendapati empat nelayan itu terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:56 AM