Anggota polis direman tujuh hari bantu siasatan minta dan terima rasuah RM3,000. FOTO ihsan SPRM.
Izlaily Nurul Ain Hussein


ANGGOTA polis berpangkat Koperal yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor malam tadi kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM3,000 daripada seorang guru agama, direman tujuh hari.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri ke atas suspek lelaki berusia 49 tahun bermula hari ini hingga 13 Disember ini.

Tempoh tahanan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas Koperal yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Suspek ditahan 9.30 malam tadi di sebuah pusat membaiki dan servis kereta di Kulai.

Dia ditahan selepas disyaki meminta wang rasuah pada 3 Disember lalu dan menerima RM3,000 daripada pengadu semalam.

Perbuatan terbabit dipercayai untuk tujuan menyelesaikan siasatan berhubung satu kes dadah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD itu yang membabitkan pengadu.

Susulan tangkapan itu, pasukan penyiasat menggeledah dua lokasi berbeza di Johor dan menyita akaun bank serta beberapa dokumen berkaitan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 11:42 AM