Arshad menunjukkan motosikal dan kereta yang terbabit dalam kemalangan maut. Gambar kecil Muhammad Haziq Mohd Aidil. FOTO ihsan polis
Noor Azurin Mohd Sharif


REMAJA lelaki berusia 17 tahun yang parah dalam kemalangan di Kilometer 14, Jalan Melaka-Muar dekat Umbai, dua hari lalu, meninggal dunia di Hospital Melaka, kira-kira jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, Muhammad Haziq Mohd Aidil yang sudah tidak lagi bersekolah disahkan meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Hospital Melaka.

“Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian jam 10.15 malam Isnin lalu, mangsa yang menunggang Yamaha RXZ dari arah Alai menuju pekan Umbai dikatakan merempuh Perodua Alza dipandu lelaki berusia 21 tahun yang mahu membelok keluar dari simpang tiga Umbai-Bukit Tembakau.

Akibat rempuhan itu, mangsa parah di kepala dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala pemandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan.

Arshad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan ditahan di Ibu Pejabat Daerah Jasin untuk pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 11:46 AM