Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

 

MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru, Johor semalam, membenarkan tuntutan bil terkurang caj Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM1,395,607.38 terhadap syarikat Lension (M) Sdn Bhd (Lension) kerana mengusik pepasangan meter TNB yang berfungsi merekodkan penggunaan elektrik di kilang berkenaan.

Tuntutan ini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 38 (5) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Hakim Dr Choo Kah Sing membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan, kilang perusahaan beg plastik berkenaan dari tarikh penghakiman dengan kos tindakan sebanyak RM30,000.

Dalam penghakimannya, TNB berjaya membuktikan terdapat pengusikan pada pepasangan meter elektrik ketika kakitangan TNB melakukan pemeriksaan di kilang berkenaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Tebrau 2, Johor Bahru pada 9 November 2013.

TNB diwakili peguam Hadi Mukhlis Khairulmaini dari Shook Lin & Bok yang mengemukakan writ saman pada 30 Julai 2015 selepas pemeriksaan TNB mendapati alat ubah arus (CT) 50/5A dipintas kepada CT asing 75/5A.

Sementara itu, defendan diwakili Rahim Ali dari Rahim, Aidil & Partners dengan mengemukakan seorang saksi sepanjang perbicaraan berlangsung manakala TNB memanggil empat saksi untuk memberi keterangan.

Perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan lapan hari pada 4 dan 6 April, 8 dan 29 Mei, 28 Ogos, 2 dan 24 Oktober serta 26 November lalu.

Dalam penghakiman itu, mahkamah mendapati bahawa TNB berjaya menunjukkan bukti munasabah bahawa pepasangan meter di premis Lension itu diusik hingga mengakibatkan kerugian hasil kepada TNB.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, TNB memenangi tuntutan kes sama membabitkan jumlah kerugian hasil berjumlah RM958,826.17 sepanjang bulan lalu yang dibicarakan di mahkamah sesyen berasingan di Taiping, Perak; Shah Alam, Selangor dan Butterworth, Pulau Pinang. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 6:00 PM