Muhammad Amjad lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Jalan Sawah, Kampung Bangkahulu, Gemas, Tampin, hari ini. FOTO ihsan bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


BUDAK lelaki, Muhammad Amjad Ashraf Nor Aza, 12 lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Jalan Sawah, Kampung Bangkahulu, Gemas, Tampin, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Gemas, Syed Ammar Syed Abbas berkata, mangsa datang ke sungai itu untuk menjala ikan bersama empat rakan sebaya pada 4 petang.

Katanya, mangsa yang sedang meninjau lokasi untuk menjala tergelincir sebelum dibawa arus deras.

"Disebabkan itu rakan-rakannya meminta bantuan penduduk sebelum panggilan dibuat terhadap pihak bomba pada 4.23 petang," katanya.

Syed Ammar berkata, lapan anggota dikerahkan ke lokasi dan mendapati sungai itu berkedalaman lima meter, deras serta berpusar.

"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan segera dan anggota menemui mangsa di dasar sungai pada 4.45 petang," katanya.

Beliau berkata, mangsa ditemui 100 meter dari lokasinya terjatuh.

"Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Gemas dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 6:23 PM