Lelaki dipercayai ahli perniagaan disyaki ada kaitan dengan sindiket yang menghasut orang ramai menjadi ahli pertubuhan haram sebelum ditawarkan Darjah Kebesaran Negeri membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri ditahan reman dua hari di Mahkamah Rendah Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


LELAKI dipercayai ahli perniagaan direman dua hari selepas disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket yang menawarkan Darjah Kebesaran Negeri membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 62 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri.

Tahanan reman itu dibenarkan mahkamah bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas lelaki yang turut dipercayai menggunakan gelaran Datuk palsu itu.

Difahamkan, laporan polis diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam berhubung suspek yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket berkenaan.

Pada 15 November lalu, polis berjaya membongkar sindiket yang menghasut orang ramai menjadi ahli pertubuhan haram sebelum ditawarkan Darjah Kebesaran Negeri yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri dengan nilai antara RM180,000 hingga RM280,000.

Sindiket itu dikesan apabila polis menahan dua lelaki berusia 57 dan 40 tahun pada 30 Oktober lalu.

Dua lelaki itu, Low Leong Huat dan Lim Kuan Hau sudah didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 30 November lalu dan mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan.

Mereka didakwa memperdayakan mangsa untuk menyertai Kelab Darjah Kebesaran Pahang (KDKP) yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mereka kemudian mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang tunai.

Terdapat lapan individu ditipu dan diperdayakan dengan dua kes dilakukan secara bersama oleh kedua-dua tertuduh membabitkan serahan wang berjumlah RM105,600.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dilaporkan berkata, siasatan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 45(1) Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 471 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 6:42 PM