Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


NIAT seorang pesara di Kuala Terengganu menambah simpanannya dengan menyertai pelaburan tukaran mata wang asing (Forex) bertukar detik hitam apabila wang RM140,000 miliknya lesap dilarikan sebuah agensi pelaburan di Kelantan.

Lelaki berusia 56 tahun itu mengambil keputusan membuat laporan polis kelmarin selepas hampir satu tahun menanti pulangan pelaburan yang dijanjikan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa dikatakan mula tertarik dengan pelaburan yang diperkenalkan agensi itu pada Mac tahun lalu dengan menyerahkan RM370,000 sebagai permulaan.

Beliau berkata, mangsa dikatakan membuat pembayaran RM370,000 secara berperingkat ke dalam akaun bank diberikan wakil agensi itu untuk dilaburkan.

"Semua urusan pelaburan berjalan lancar pada peringkat awal apabila agensi berkenaan membuat pembayaran secara berperingkat seperti dijanjikan.

"Bagaimanapun, urusan pembayaran itu hanya dibuat sehingga November tahun lalu dan agensi berkenaan berjanji akan menjelaskan baki pelaburan mangsa iaitu RM140,000 pada Disember tahun lalu.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa tetap menunggu agensi berkenaan membuat pembayaran dalam tempoh yang dijanjikan," katanya.

Idris berkata, selepas tempoh dijanjikan berakhir, mangsa bukan saja tidak menerima sebarang bayaran malah talian yang sering digunakan untuk menghubungi agensi berkenaan juga tidak aktif.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 7:25 PM