Anggota bomba memadamkan kebakaran lori jagung yang terbabas. FOTO ihsan bomba
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


SEBUAH lori membawa muatan jagung terbakar selepas terbabas di Kilometer 458 dekat Restoran Jejantas Sungai Buloh Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Bukit Lanjan, 3.20 petang hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 3.25 petang dan sebaik tiba anggota bomba mendapati bahagian hadapan lori terbakar di bahu jalan.

Katanya, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sekali gus menyebabkannya terbakar.

“Ketika sampai, jagung daripada muatan lori berkenaan berselerak di jalan dan menutup keempat-empat lorong lebuh raya arah utara.

“Muatan yang menutup laluan berkenaan menyebabkan kesesakan teruk,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan dan sempat keluar menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 7:35 PM