MOHD Irwan (kanan) mencuba aplikasi 'TaPaY' pada pelancaran 'E-Wallet TaPaY'. Turut kelihatan, Hudhaifa (kiri) dan Pengerusi Barrington Group Sun Jianwei (dua, kiri). FOTO Bernama
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


CYBERJAYA bakal menjadi bandar pertama tanpa tunai di negara ini selepas memperkenalkan transaksi pembayaran secara e-dompet melalui aplikasi TaPay di beberapa lokasi terpilih mulai hari ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, beberapa restoran dan peruncit di sekitar Cyberjaya sudah dipilih untuk menggunakan aplikasi itu melalui projek perintis yang dilaksanakan.

"Kita akan laksanakan projek ini dalam tempoh sebulan terlebih dahulu, sekiranya projek ini berjaya ia akan diperluaskan ke Lembah Klang dan seterusnya seluruh negara serta ASEAN.

"Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan sebanyak 63 peratus

kebergantungan transaksi pembayaran tunai menjelang 2020," katanya pada sidang media

selepas melancarkan aplikasi e-dompet TaPay di Cyberjaya, hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd (Cyberview), Mohd Najib Ibrahim; Ketua

Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Holdings Berhad, Kamarul Ariffin Mohd Jamil dan Ketua

Pegawai Eksekutif Fullrich Malaysia Sdn Bhd (Fullrich), Hudhaifa Ahmad.

Mohd Irwan yang juga Pengerusi Cyberview berkata, aplikasi e-dompet pertama yang dibina

oleh syarikat tempatan itu dilihat mampu bersaing dengan khidmat dompet mudah alih lain

seperti Alipay.

"Oleh itu, saya berharap lebih banyak pihak terutama bank dan peruncit tampil untuk

bekerjasama dalam memperkasakan ekosistem tanpa tunai di negara ini," katanya.

Sementara itu, Hudhaifa berkata, aplikasi yang dibina Fullrich dengan kerjasama Cyberview

dan Kumpulan Affin Bank itu kini sedang diperkukuhkan melalui pengumpulan maklumat

membabitkan pihak perniagaan, institusi pendidikan, penduduk serta pelajar di sekitar

Cyberjaya.

"Kami akan terus mengemaskini aplikasi ini berdasarkan cadangan dan maklum balas yang

diterima untuk memastikan ia sentiasa menepati permintaan dalam kalangan pelanggan dan peniaga,"katanya.

Terdahulu, Mohd Irwan turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Fullrich dan Cyberview serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fullrich dengan empat rakan kerjasama iaitu Kumpulan Affin Bank, Picksum, AladdinStreet and myrelo bagi melaksanakan e-dompet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 8:06 PM