Anggota bomba memadam kebakaran di Skim Penempatan Kinarut, Papar. FOTO Razik Zayad
Junaidi Ladjana dan Razik Zayad
am@hmetro.com.my


TINDAKAN kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dipercayai terencat akal menyalakan lilin bukan saja menyebabkan rumah didiaminya terbakar malah lima kediaman jiran musnah dalam kebakaran di Skim Penempatan Kinarut, Papar, petang tadi.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, enam keluarga tinggal sehelai sepinggang namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar Aloysius Steven Amit berkata, sebaik menerima panggilan 6.39 petang, sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, operasi memadam dilakukan dan api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berdekatan pada 7. 35 malam.

"Hasil pemeriksaan, kita dapati sebanyak enam rumah musnah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kebakaran dipercayai akibat tindakan seorang kanak-kanak lelaki menyalakan lilin di bilik rumahnya, sebelum api merebak.

"Ketika kejadian, kita dimaklumkan oleh penduduk kampung terdapat seorang wanita warga emas berusia 70 tahun dikatakan terperangkap di rumahnya.

"Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu berjaya diselamatkan oleh ahli keluarganya dengan dibantu penduduk kampung," katanya.

Aloysius berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 8 malam dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Operasi memadam kebakaran membabitkan enam jentera dengan kekuatan seramai 32 anggota dari BBP Papar dengan dibantu BBP Penampang dan Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:01 PM