Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


RIBUAN penduduk sekitar Bukit Rambai, Melaka Tengah, resah dan rimas apabila Sungai Ayer Salak, Melaka, dipenuhi bahan kimia dipercayai cecair seperti minyak, sejak 2 pagi hari ini.

Penduduk paling hampir dengan sungai terbabit, yang pertama menyedari pencemaran itu apabila terhidu bau bahan kimia yang sangat kuat.

Penduduk mendakwa, ada pihak tidak bertanggungjawab membuang bahan kimia terbabit ke dalam sungai, dipercayai dari kawasan perindustrian Bukit Rambai, menyebabkan pencemaran berlaku sepanjang lebih 12 kilometer dalam Sungai Ayer Salak.

Penduduk Kampung Bukit Datuk, Amran Husain, 51, berkata, dia menyedari hal itu kira-kira 2 pagi, apabila bau bahan kimia seperti minyak tar memasuki rumah.

"Bau itu sangat tajam dan membuatkan kami pening. Namun saya tidak tahu dari mana datang bau itu hinggalah apabila bangun 5 pagi untuk solat subuh, saya dapati bau itu datang dari sungai," kata Amran, yang rumahnya hanya 50 meter dari sungai terbabit.

Menurutnya, pencemaran itu paling buruk pernah berlaku di kawasan terbabit sejak 20 tahun lalu.

Tinjauan Harian Metro mendapati, bukan hanya bau kuat menusuk hidung dan melemaskan, malah sepanjang sungai dipenuhi cecair kimia seperti minyak berwarna hitam.

Seorang penduduk Amy Samad, 43, dari Taman Rambai Jaya berkata, pencemaran itu membuatkan air sungai langsung tidak kelihatan sebaliknya hanya berwarna hitam, pada 7 pagi.

"Sepanjang sungai ini, setiap pagi dan petang penduduk beriadah dan berjoging, malah ramai juga yang memancing pada sebelah petang.

"Pagi tadi, seorang penduduk terpaksa dihantar ke hospital kerana sesak nafas, tidak tahan dengan bau kuat bahan kimia ini," kata Amy.

Beliau menggesa pihak bertanggungjawab agar segera menyelesaikan masalah itu kerana sekurang-kurangnya 5,000 penduduk terjejas, membabitkan penduduk dari Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Taman Tanjung Minyak, Kampung Bukit Datuk dan Kampung Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:09 PM
AMY menunjukkan sampel pencemaran yang diperoleh dari sungai. FOTO Mohd Hilmie Hussin