PESERTA membabitkan pelajar tempatan dan antarabangsa memeriahkan Program Pesta Ria Bahasa Melayu Citra 2017.
Mohd Wahyuddin Jamil Khair


Bangi: Kita boleh belajar bahasa lain, tetapi jangan lupa bahasa kebangsaan kita sendiri,” kata pelajar dari Jepun Eri Koyama, 21, dalam bahasa Melayu.

Eri adalah peserta nyanyian di Program Pesta Ria Bahasa Melayu Citra 2017 yang berlangsung di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Kata Eri, dia mengambil masa beberapa tahun untuk mempelajari bahasa Melayu.

“Sudah dua tahun tiga bulan saya ambil kelas khas di Jepun dan di sini untuk menguasai bahasa Melayu.

“Menerusi perbualan, penulisan dan pembacaan yang saya lakukan untuk memantapkan lagi penguasaan dalam bahasa Melayu,” katanya.

Dia yang juga pelajar tahun pertama jurusan Antropologi dan Sosiologi UKM berkata, dia tertarik untuk belajar bahasa Melayu kerana ciri-ciri negara ini yang unik dan menarik.

“Malaysia sangat unik dengan pelbagai budaya dan kaum yang membuatkan saya tertarik untuk belajar bahasa ini.

“Selain itu, bahasa Melayu sangat mudah untuk dipelajari, jadi bagi mereka yang belajar bahasa ini, perlulah yakin untuk menggunakannya,” katanya.

Pelajar dari Jordan, Mohammad Talal Bani Hani, 28, berkata, bahasa Melayu memudahkan kehidupannya di sini.

“Saya sudah setahun di sini, mudah untuk saya berinteraksi bersama rakan dan memahami perbualan mereka kerana faham bahasa Melayu,” katanya.

Lebih 300 pelajar tempatan dan antarabangsa menyertai program Pusat Citra UKM dengan objektif utama untuk memantapkan lagi penguasaan bahasa Melayu dengan cara yang lebih santai dan menyeronokkan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah berkata, program yang dianjurkan buat kali pertama ini dilihat sebagai satu platform terbaik untuk memartabatkan bahasa Melayu yang secara tidak langsung bertepatan dengan prinsip universiti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:43 AM