Mohd Kamal (kanan) menunjukkan tiga suspek yang diminta menyerah diri berkaitan kes remaja lelaki yang maut dipukul.
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Kematian remaja lelaki yang dikatakan ditemui orang awam di hentian bas di Ayer Keroh, Isnin lalu, ada kaitan dengan tiga video yang tular di laman Facebook.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, remaja M Arunasalam, 16, yang disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas dihantar individu didakwa sebagai orang awam dipercayai dihantar individu yang ada kaitan dengan rakaman video yang tular itu.

“Rentetan itu, kami mengenal pasti tiga individu untuk disiasat yang seorang daripadanya dipercayai bapa saudara mangsa berusia 32 tahun manakala dua lagi berusia sekitar 35 hingga 38, dan hubungan mereka belum dapat dipastikan.

“Saya harap ketiga-tiga individu itu tampil membantu siasatan kerana kami percaya dengan kerjasama mereka dapat membantu siasatan ke atas kes ini. Kita juga percaya tiga individu itu yang menghantar mangsa ke hospital untuk mendapat rawatan,” kata Mohd Kamal pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, semalam.

Mohd Kamal berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit dikenali sebagai J Visvanathan, 32, K Shanmuganatan, 35, dan N Thiagu, 38.

“Siasatan mendapati, kes video yang tular itu berlaku di sebuah bengkel di Krubong, di sini, dipercayai akibat perselisihan faham antara suspek dan mangsa.

“Polis mengenal pasti identiti mereka (suspek), namun kami minta mereka menyerah diri untuk membantu siasatan,” katanya, lagi.

Beliau berkata, bapa saudara mangsa berasal dari Tangkak, Johor, manakala dua lagi suspek berasal dari Melaka.

Mohd Kamal berkata, mangsa berasal dari Tangkak tinggal bersama ibu dan adik perempuannya, manakala ibu dan bapa mangsa sudah berpisah.

Menurutnya, keterangan daripada ibu mangsa juga diambil.

Harian Metro kelmarin melaporkan, mangsa yang dirawat di zon merah diberi bantuan pernafasan selama 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia.

Pemeriksaan turut menemui kesan lebam dan birat di kedua-dua belah tangan serta belakang badan mangsa selain pengenalan diri tidak ditemui.

Sejak Isnin lalu, tiga video tersebar di laman sosial Facebook memaparkan seorang remaja lelaki dipukul kerana dipercayai mencuri wang datuknya.

Dalam video itu, remaja yang tidak berbaju berkenaan dilihat dipukul menggunakan getah paip sambil merayu dan menangis.

Mohd Kamal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

*****************************

Remaja maut lepas 2 hari bertarung nyawa

Jasin: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang terbabit dalam kemalangan
di Kilometer 14, Jalan Melaka-Muar disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka, 5 petang kelmarin, selepas bertarung nyawa selama dua hari. Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa Muhammad Haziq Mohd Aidil yang sudah tidak bersekolah, meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Hospital Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:52 AM