HASMAH menunjukkan cara menganyam dulang dengan buluh di rumahnya di Kampung Talak, Chabang Empat.
Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Melangkah masuk ke kediaman Hasmah Awang Hamat, 62, di Kampung Talak, Chabang Empat di sini, umpama memasuki rumah tradisional yang setaraf muzium kesenian lama.

Bukan hanya hiasannya masih mengekalkan eleman Melayu kuno, bahkan dinding dan silingnya yang diperbuat daripada anyaman buluh pelbagai bentuk.

Lebih istimewa, Hasmah tidak membeli atau menempah anyaman itu daripada orang lain, sebaliknya menganyamnya sendiri menggunakan tulang empat keratnya.

Kepuasan lebih dicapai apabila menghasilkan sesuatu mengikut cita rasa sendiri dan Hasmah mengekalkan karyanya dalam bentuk tersendiri termasuk sebagai dinding.

Menurutnya, dia mahir menganyam buluh sejak berusia belasan tahun selepas tertarik dengan corak anyaman dihasilkan penduduk kampung ketika itu.

“Ketika mula-mula menganyam, memang susah. Kesabaran yang sangat tinggi diperlukan dan saya pula belajar mulai proses mencari buluh sesuai hingga kepada menebang, membelah, meraut dan menyusunnya mengikut susunan.

“Pada peringkat awal, saya mahirkan diri buat nyiru atau badang kerana lebih kecil selama 10 tahun, sebelum belajar membuat anyaman dinding atau siling yang lebih besar.

“Kerana terpesona dengan kecantikannya, saya usahakan hingga mampu buat pelbagai corak menarik,” katanya.

Hasmah berkata, buluh yang diperlukan untuk menghasilkan dinding tidak sama dengan buluh membuat nyiru.

“Bagi dinding, biasanya saya menggunakan buluh kelopak hitam kerana ia lebih lasak dan tahan lama. Buluh itu saya dapatkan di Pasir Mas kerana banyak sumber di sana,” katanya yang masih mengambil tempahan pelanggan untuk anyaman dinding.

Menurutnya, pengalaman 30 tahun membolehkan dia menghasilkan dua keping anyaman sepanjang satu meter dan lebar setengah meter dalam tempoh sehari.

Bagi menjaga kualiti dinding buluhnya, dia hanya mula menganyam apabila pelanggan menempah.

“Biasanya, pelanggan datang menunjukkan corak yang dimahukan dan saya menganyam mengikut kehendak mereka. Selain menjaga kualiti, kepuasan hati pelanggan juga perlu dipenuhi.

“Alhamdulillah, 30 tahun menganyam, banyak tempahan yang diperoleh antaranya dari Taman Negara Pahang, pengusaha chalet dan rumah tumpangan di Langkawi, Pulau Perhentian serta orang perseorangan,” katanya.

Ibu kepada lapan anak itu mahu terus memperjuangkan seni anyaman buluh supaya tidak pupus, namun anaknya tidak berminat mempelajarinya.

Katanya, dia kini berkongsi kemahiran itu dengan penduduk lain yang berminat dan akan terus menganyam selagi terdaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 2:49 AM