ZALEHA (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa banjir di Kampung Kubang Bakong, Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


DUA RATUS mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu menerima bantuan bernilai RM50,000 menerusi Misi Kemanusian Banjir Pantai Timur MR DIY.

Misi terbabit yang mendapat kerjasama daripada Islamic Relief Malaysia (IRM) tertumpu di kawasan yang sering dinaiki air termasuk di Setiu, Terengganu dan Rantau Panjang, di Kelantan.

Pengurus Kanan Sumber Manusia MR DIY, Dr Zaleha Mohd Mydin berkata, misi itu digerakkan sebagai tanda keprihatinan pihaknya kepada mangsa banjir yang juga pelanggan mereka selepas terpaksa menghadapi bencana itu hampir setiap tahun.

Katanya, sebelum ini pada 2014 dan 2015, pihaknya turut menghulurkan bantuan pada mangsa banjir dengan kerjasama beberapa pihak.

"Kali ini kami turun padang sendiri berjumpa mangsa untuk menyampaikan sumbangan berbentuk peralatan dan makanan seperti beras, mi segera, biskut, air mineral serta penyapu dan baldi.

"Menerusi program ini, kami terdiri daripada 20 kakitangan MR DIY dapat merasai perasaan mereka yang terpaksa menempuh dugaan akibat banjir dan berpeluang memberi kata semangat kepada semua mangsa di sini.

"Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung," katanya Kampung Kubang Bakong, Rantau Panjang, hari ini.

Sementara itu, penduduk, Fatimah Hassan, 67,bersyukur dengan bantuan yang diberikan selepas lebih seminggu rumahnya dinaiki air sedalam satu meter.

"Sumbangan yang diberikan ini cukup bermakna dan dapat mengurangkan beban kami sekeluarga. Peralatan yang diberikan boleh digunakan untuk membersih rumah.

"Hanya tuhan yang boleh membalas jasa mereka yang prihatin dengan nasib kami," katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 7:30 PM