DADAH yang dirampas polis dalam serbuan di FELDA Palong Dua. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG tokan dan dua penagih dadah dicekup polis ketika sedang menjalankan urusan jual beli di rumah di Felda Palong Dua, Jempol, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 29 hingga 45 tahun tidak sedar kegiatan mereka diintai pihak polis.

Katanya, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kegiatan sebelum menjalankan serbuan pada 11 malam.

"Sebaik menyedari kehadiran anggota, mereka cuba melarikan diri menggunakan pintu belakang namun sudah dikepung. Pemeriksaan menemui 10 paket plastik mengandungi heroin seberat 21.22 gram," katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, dua penagih terbabit datang ke rumah pengedar ketika ahli keluarganya tiada.

Katanya, semua suspek masing-masing memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah dan pernah dipenjarakan.

"Selain penahanan, polis merampas tiga motosikal digunakan iaitu Yamaha SS dan Yamaha Lagenda 115Z," katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari hingga Khamis ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 7:38 PM