Pencarian nelayan hilang diteruskan di Fort Supai, Kuala Linggi, hari ini. STR/ MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Zairee Mohd Yasak


KEMUNCULAN beberapa ekor buaya dan selut sedalam 1.2 meter menyukarkan pencarian nelayan yang dikhuatiri lemas, Mohamad Borhan, 62, di perairan Kuala Linggi, Alor Gajah, Melaka, hari ini.

Akibat kemunculan buaya sepanjang hari, misi mencari dan menyelamat masuk hari kedua itu, hanya dilakukan di permukaan air sahaja.

Selain itu, ketiadaan saksi dalam kejadian kehilangan nelayan terbabit menyebabkan lokasi sebenar pencarian sepatutnya sukar ditentukan kerana nelayan terbabit juga keluar memasang pukat sendirian.

Komander operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan (APMM)(DM5) Leftenen Madya Maritim Mohd Azwandy Maarof berkata, bagi menjamin keselamatan anggota operasi, SAR dilakukan di kawasan yang dipercayai lokasi mangsa terjatuh.

"Operasi pencarian hari ini diperluas merangkumi kawasan sepanjang 12 batu nautika dari Tanjung Tuan hingga Tanjung Bidara, lokasi bot milik mangsa ditemui pada jarak satu batu nautika dari perairan Kampung Telok, Pasir Panjang, Negeri Sembilan dan keadaan arus laut.

"Keluarga mangsa telah dimaklumkan tentang operasi yang dijalankan sehingga kini. Operasi akan diteruskan esok," katanya, ketika dihubungi selepas menamatkan operasi pencarian kira-kira jam 7.30 malam, hari ini.

Katanya, operasi pencarian membabitkan 75 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis di Raja Malaysia (PDRM) serta nelayan turut ditumpukan di sekitar kawasan pukat mangsa ditemui, iaitu berhampiran muara Kuala Linggi.

Berita berkaitan:

Bot ada, orangnya tiada

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 9:02 PM