PENUNTUT USIM mengadakan perhimpunan solidariti di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, di sini, semalam.
Khairul Najib Asarulah Khan


Nilai: Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel membuktikan mereka tidak sensitif terhadap umat Islam.

Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, cubaan AS memindahkan pejabat kedutaannya dari Tel Eviv ke Baitulmaqdis sesuatu yang tidak wajar.

Katanya, biarpun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai kota suci umat Islam, namun ia tidak diendahkan.

“Oleh demikian, pihak kami (USIM) tidak terkecuali mengadakan perhimpunan solidariti membantah cubaan itu. Seramai 200 penuntut USIM berhimpun di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, di sini selepas solat Jumaat, semalam (kelmarin),” katanya.

Beliau berkata, bantahan itu sebagai kepekaan dan tanda simpati terhadap penduduk Palestin.

“Apa yang kami perhatikan adalah AS dan Zionis Israel semakin angkuh dan sombong. Mereka tidak sensitif terhadap kota suci umat Islam,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, perbuatan itu menjadikan konflik antara Palestin dan Israel bertambah buruk.

“Tindakan ini mengundang ketidakpuasan hati umat Islam seluruh dunia termasuk Malaysia. Pada masa sama usaha meleraikan peperangan bertambah sukar,” katanya.

Dr Muzaffar berkata, tindakan oleh Trump dilihat sebagai usaha menyebarkan pengaruh militan dan keganasan di serata dunia. Oleh demikian, Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) perlu bertindak melindungi masyarakat Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 5:45 AM