SUZANA memangku anaknya, Adam Safiudin Ashraf, 3, ketika ditemui di rumahnya di Kampung To’Deh Barat.
HM Digital

Rantau Panjang: Hospital bagaikan rumah kedua bagi seorang ibu muda apabila terpaksa berulang-alik menerima rawatan penyakit buah pinggang tahap lima sejak Mac lalu.

Setiap bulan, hampir tiga kali Suzana Rohin, 25, terpaksa berulang-alik ke hospital menjalani rawatan dialisis.

Lebih menyedihkan, ibu kepada anak lelaki berusia tiga tahun itu tidak dapat melakukan kerja berat dan terpaksa mendapatkan bantuan orang lain untuk bergerak dengan kerusi roda.

Suzana berkata, hidupnya berubah selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik, Mac lalu.

Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Kota Bharu, namun terpaksa berhenti selepas penyakitnya semakin serius.

“Pada mulanya saya kerap diserang sakit kepala, demam dan sering lenguh belakang badan namun selepas pemeriksaan di hospital saya disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima.

“Selepas jatuh sakit, saya dan suami tinggal di rumah ibu bapa kerana kami hilang punca pendapatan berikutan suami terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori untuk menjaga saya dan anak.

“Untuk menambah pendapatan, suami menjual burger dengan pendapatan RM150 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung To’Deh Barat di sini, baru-baru ini.

Suzana berkata, sehingga kini dia sudah menjalani tujuh pembedahan di perut dan paha untuk memudahkan rawatan dialisis.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa yang banyak membantu dari segi kewangan dan memberi kasih sayang sepenuhnya menjaga anak saya.

“Tiada apa yang saya harapkan selain doa supaya saya sembuh dan kuat seperti sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 6:10 AM