Suspek ditahan manakala barang yang diseludup dirampas untuk siasatan lanjut. FOTO Ihsan ATM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


CUBAAN lelaki Indonesia menyeludup enjin bot, diesel dan pemotong kayu menggunakan laluan tikus di Ladang Kelapa Sawit Ensawang di Lubok Antu, digagalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malam tadi.

Suspek berusia 30-an itu dikesan memandu Perodua Kancil di kawasan ladang berkenaan dalam keadaan mencurigakan 10.30 malam.

Penahanan suspek dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (KAD) yang menjalankan Ops Serbu dan Tangkap di ladang berkenaan.

Pegawai Pemerintahnya Leftenan Kolonel Mohd Nizam Masri berkata, rampasan yang dibuat pasukannya dianggarkan bernilai RM25,000.

Menurutnya, suspek ditahan kerana dilihat memandu menghala ke kawasan sempadan yang terletak kira-kira 300 meter dari ladang berkenaan.

"Suspek terkejut selepas menyedari kehadiran anggota tentera di ladang berkenaan sebelum diminta untuk menghentikan kenderaan bagi pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui tiga enjin bot, diesel dan pemotong kayu di dalam kereta berkenaan yang cuba diseludup keluar ke negara jiran," katanya di Kuching, hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit memiliki pasport yang sah namun tindakannya menggunakan laluan tikus selain membawa barang bersubsidi adalah menjadi kesalahan.

Katanya, suspek mengakui membeli semua barangan yang dirampas di Sarikei sebelum diseludup keluar.

Difahamkan, suspek menggunakan laluan ladang untuk menyeludup keluar kerana kedudukannya yang hampir dengan Kalimantan Barat selain tiada pergerakan penduduk dan pekerja pada waktu malam.

Mohd Nizam berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lubuk Antu manakala barang yang dirampas diserahkan kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama pertukaran maklumat dengan pasukan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 2:19 PM