MAYAT yang ditemui di 11.8 batu nautika dari Muara Kuala Linggi. FOTO Ihsan APMM
Mohd Hilmie Hussin


MAYAT ditemui di laluan trafik pemisah antara perairan Malaysia-Indonesia kira-kira, 11 pagi ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka/Negeri Sembilan (DM5), Komander Maritim Azman Samsudin berkata, mayat lelaki terbabit ditemui nelayan tempatan di 11.8 batu nautika dari Muara Kuala Linggi, Alor Gajah sebelum menghubungi APMM.

"Setakat ini, kita belum dapat sahkan yang mayat ditemui itu adalah nelayan yang kita cari, yang dilapor hilang selepas keluar menangkap ikan 8.30 pagi, Khamis lalu.

"Bagaimanapun, berdasarkan pakaian yang dipakai pada mayat terbabit, berbaju biru gelap menepati ciri-ciri mangsa yang dilapor hilang, namun kita perlu dapatkan pengesahan daripada keluarga mangsa," katanya ketika dihubungi.

Azman berkata, mayat mangsa kini dalam perjalanan ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Linggi, Alor Gajah, menggunakan bot Kilat 19 Maritim Malaysia.

Difahamkan keluarga mangsa sudah berkumpul di RTC untuk tujuan pengecaman.

Berita berkaitan:

Bot ada, orangnya tiada

Buaya sukarkan pencarian nelayan hilang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 2:21 PM