Anggota bomba memberi makanan kepada dua penuntut Politeknik Arau yang tersesat ketika mendaki Gunung Jerai sebelum dibawa turun malam ini. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba memberi makanan kepada dua penuntut Politeknik Arau yang tersesat ketika mendaki Gunung Jerai sebelum dibawa turun malam ini. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


DUA penuntut lelaki dari Politeknik Arau, Perlis yang terkandas di puncak Gunung Jerai, Yan diselamatkan anggota bomba, hari ini.

Mereka yang masing-masing berusia 19 tahun dikatakan mula mendaki gunung berkenaan pada jam 9 pagi sebelum menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk membantu mereka turun.

Pegawai Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.34 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan tiba di lokasi 15 minit kemudian.

Beliau berkata, operasi disertai enam anggota yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Yusmi Yusof dengan menaiki sebuah jentera ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi anggota bomba mendapati mangsa yang terkandas masih boleh dihubungi melalui telefon bimbit sekali gus dapat mengesan kedudukan mereka.

"Penuntut terbabit, Hanis Aisamudin Hassan dan Ikbal Syazwan Mahizan ditemui jam 6.28 petang di Air Terjun Batu Putih, Sungai Perigi berhampiran Puncak Gunung Jerai.

"Sebelum itu mereka memaklumkan berada berhampiran kawasan sungai di Gunung Jerai dan operasi menyelamat kemudian dilakukan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan RELA (Jabatan Sukarelawan Rakyat)," katanya.

Beliau berkata, penuntut terbabit dibawa turun jam 7.27 malam sebelum dibawa ke resort penginapan di gunung terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 10:27 PM