ANTARA air zam zam yang dijual di beberapa premis di ibu negara.
ANTARA air zam zam yang dijual di beberapa premis di ibu negara.
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Biarpun penjualannya dilarang pihak berkuasa, masih terdapat beberapa premis khususnya kedai buku di ibu negara masih menjual air zam zam secara terbuka.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) mendapati sekurang-kurangnya dua premis menjual air zam zam dalam botol kecil pada harga RM15 untuk isi padu 50 mililiter (ml).

Bagaimanapun, tinjauan di dua pasar raya mendapati air zam zam tidak dipamerkan di rak jualan dan pekerja memberitahu penjualannya dihentikan sejak beberapa hari lalu.

“Sudah lama air zam zam tak dijual di sini. Kalau nak tahu lanjut kena tanya HQ (ibu pejabat),” kata pekerja berkenaan sambil enggan mengulas lanjut.

Pekerja sebuah lagi pasar raya lain berhampiran memberitahu, sebelum ini air zam zam ada dijual di premis berkenaan, namun hanya bersaiz besar iaitu lima liter pada harga RM125.

“Tapi semalam semua stok air zam zam sudah habis dan tak tahu bila stok baru akan sampai. Cuma ada saiz besar kalau mahu yang saiz kecil kena cari di kedai buku agama,” katanya.

Wartawan kemudian cuba mencari air berkenaan dari kedai buku dimaksudkan dan mendapati terdapat tiga jenama air zam zam dijual yang didakwa diimport dari Arab Saudi.

“Air zam zam ini memang ori (tulen) sebab kita import dari Arab Saudi,” kata peniaga premis cuba meyakinkan wartawan.

Akhbar semalam melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan tindakan penguatkuasaan secara berterusan terhadap penjualan air zam zam di negara ini selaras dengan larangan kerajaan Arab Saudi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, larangan penjualan air zam zam termasuk di kedai buku di sekitar Kuala Lumpur dan seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti terhad ketika berlepas dari Arab Saudi.

Harian Metro melalui laporan muka depan pada Mei 2015 melaporkan kewujudan sekurang-kurangnya tiga jenama air zam zam dijual di negara ini diragui ketulenan, malah ujian kimia dilakukan mendapati satu daripada jenama itu sudah tercemar.

Ujian dilakukan di Melaka Biotechnology Corporation (Biotech Melaka) dan tiga sampel air zam zam itu pada harga RM6 hingga RM10 sebotol yang beratnya 350 mililiter (ml) dan 500ml.

Ketiga-tiga sampel itu dibeli wartawan Harian Metro di lokasi berasingan dengan ketiga-tiganya dilabel sebagai air zam zam yang diimport dari Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 6:44 AM