X
Tengku Adnan (tengah) dan Presiden Perbadanan Putrajaya merangkap Pengerusi PULSE Group, Datuk Seri Hasim Ismail (dua kanan) menyaksikan Che Azizuddin (tiga kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Razali (tiga kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Tengku Adnan (tengah) dan Presiden Perbadanan Putrajaya merangkap Pengerusi PULSE Group, Datuk Seri Hasim Ismail (dua kanan) menyaksikan Che Azizuddin (tiga kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Razali (tiga kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


KERAJAAN akan menaik taraf sistem pengangkutan awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua lapisan masyarakat.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah itu diambil berikutan Putrajaya bakal menjadi satu daripada hab pengangkutan darat utama selepas pelbagai projek infrastruktur siap sepenuhnya kelak.

"Projek berkenaan termasuk rangkaian pengangkutan kereta api seperti Mass Rapid Transit (MRT) laluan kedua dari Putrajaya Sentral ke Sungai Buloh, Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL).

"Ketika ini pelbagai usaha dilaksanakan termasuk pengambilalihan saham syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tour Sdn Bhd (PAPTT) bagi memantapkan lagi pengangkutan awam di sini," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pengambilan Saham PAPTT antara Pulse Group dan anak syarikat milIk penuh GETS Global Berhad (GETS Global) iaitu Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn Bhd di Putrajaya, hari ini.

Pada majlis itu, Pulse Group diwakili oleh Pengarahnya, Datuk Ir Razali Ibrahim dan manakala GETS Global diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Che Azizuddin Che Ismail.

Tengku Adnan berkata, pengambilalihan itu bertujuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam dan khususnya kepada kira-kira 100,000 penduduk di Putrajaya.

Katanya, sebanyak lima bas awam elektrik akan mula beroperasi pada suku kedua tahun depan selain sebanyak 150 bas elektrik bakal digunakan secara berperingkat.

"GETS Global akan melaksanakan sistem pengangkutan awam bas elektrik sepenuhnya di Putrajaya menjelang 2025 sekali gus menggantikan penggunaan bas gas asli (NGV).

"Selain itu, kita juga akan berbincang dengan kerajaan untuk melaksanakan program bas percuma di Putrajaya sama seperti yang dilaksanakan di Kuala Lumpur iaitu GO-KL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 3:28 PM