Penduduk sekitar Putrajaya mengambil peluang membeli ikan di Jualan Ikan Segar Separuh Harga @ Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


LEBIH 1,500 penduduk menyerbu program Jualan Ikan Segar Separuh [email protected] di Presint 9, Putrajaya, hari ini, untuk membeli ikan segar dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

Dek kerana tidak sabar mendapatkan ikan murah dan segar, ada dalam kalangan penduduk yang sudah beratur sejak 3 petang untuk mendapatkan ikan segar walaupun program kali kedua dilaksanakan itu hanya bermula 4 petang.

Sebanyak tiga tan ikan seperti pelaling, cencaru, sardin dan tongkol yang dijual antara RM7 hingga RM8 sekilogram disediakan malah program itu dilanjutkan sehingga malam untuk memberi peluang kepada lebih ramai penduduk membeli ikan.

Penduduk, Normainunah Ismail, 55, mengakui berpuas hati dengan kualiti ikan yang ditawarkan kerana lebih segar berbanding ikan yang dijual di pasar sekitar Putrajaya dan lebih penting harganya jauh lebih murah.

Katanya, ini adalah kali kedua dia membeli ikan dalam program anjuran UMNO Bahagian Putrajaya dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya.

"Ini satu program yang perlu dicontohi oleh pihak lain kerana ia dapat membantu mengurangkan bebanan rakyat dan saya sangat berpuas hati dengan kualiti dan harga yang ditawarkan.

"Sebagai contoh, harga ikan cencaru di pasar dijual pada harga RM14 sekilogram namun di sini kita boleh dapat RM7 dengan kualiti yang baik," katanya ketika ditemui di Padang Dewan Presint 9, Putrajaya, hari ini.

Katanya, dia berharap program seperti itu dapat diperluaskan lagi dengan pelbagai barangan lain termasuk sayur, daging dan ayam.

Dalam pada itu, Muhammad Ikhwan Zainal, 25, berkata, program yang dilaksanakan itu dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaannya malah ikan yang ditawarkan sangat murah.

"Saya tidak perlu bangun tidur lebih awal untuk mendapatkan ikan segar di pasar malah, tiada tempat lain yang menawarkan harga seperti ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, program kali kedua itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar kawasan.

"Kali ini kira-kira 1,500 penduduk datang membeli ikan dan kita dapat habiskan jualan tiga tan ikan dalam masa tiga jam saja.

"Program ini dianjurkan lagi pada masa akan datang bagi meringankan beban orang ramai membeli barangan keperluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 6:32 PM