TENGKU Adnan membantu orang ramai yang mahu membeli ikan yang dijual dengan separuh harga.
HM Digital

Putrajaya: Kira-kira 1,500 penduduk menyerbu program Jualan Ikan Segar Separuh [email protected] di Presint 9 di sini, semalam untuk membeli ikan segar dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

Dek kerana tidak sabar mendapatkan ikan murah dan segar, ada dalam kalangan penduduk yang sudah beratur sejak jam 3 petang walaupun program kali kedua dilaksanakan itu hanya bermula pada jam 4 petang.

Sebanyak tiga tan ikan seperti pelaling, cencaru, sardin dan tongkol yang dijual antara RM7 dan RM8 sekilogram disediakan pada program itu yang dilanjutkan sehingga malam untuk memberi peluang kepada lebih ramai penduduk membeli ikan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, program kali kedua itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar kawasan.

“Kali ini kira-kira 1,500 penduduk yang datang membeli ikan dan kita lanjutkan masa sehingga malam untuk menghabiskan tiga tan ikan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 7:06 AM