Cheng Ming Tat (tengah) mendakwa menerima ugutan bunuh dan diminta membayar RM1,000 bagi menebus nyawanya. FOTO Effendy Rashid.
Farah Suhaidah Othman


SEORANG guru tuisyen mendakwa ditawarkan RM1,000 oleh pembunuh upahan sebagai bayaran bagi menebus nyawanya.

Cheng Ming Tat, 35, yang juga Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Perpaduan Kencana, Ipoh berkata, dia dihubungi individu tidak dikenali 10.55 pagi semalam yang mengatakan diupah untuk membunuhnya.

“Individu itu memaklumkan ada orang mengupahnya untuk membunuh saya.

“Saya bertanya siapa yang mengupahnya namun lelaki itu tidak menjawab,” katanya ditemui di Wisma MCA, hari ini.

Cheng berkata, individu terbabit turut mendakwa mempunyai maklumat mengenai dirinya termasuk gambar peribadi.

“Selepas mengugut untuk membunuh saya, individu itu meminta RM1,000 daripada saya sekiranya tidak mahu dibunuh.

“Katanya, dia sanggup untuk tidak melakukannya memandangkan saya seperti seorang yang baik,” katanya.

Menurut Cheng, individu terbabit kemudiannya memberikan nombor akaun bank kepadanya menerusi SMS.

“Dia menyerahkan nombor akaun bank selepas saya memaklumkan mahu melakukan transaksi berkenaan,” katanya.

Cheng berkata, dia kemudiannya menerima panggilan kedua daripada individu sama yang memintanya mendepositkan wang berkenaan sebelum 12 tengah hari semalam.

“Individu itu kemudiannya berjanji akan mendedahkan nama individu yang mengupahnya selepas wang didepositkan ke akaun banknya.

“Saya tidak mendepositkan wang itu sebaliknya meminta untuk bertemunya namun dia menolak dengan alasan majikannya akan marah,” katanya.

Menurut Cheng, dalam tempoh dua jam semalam, dia menerima 10 panggilan telefon daripada individu berkenaan yang menggugutnya supaya mendepositkan wang itu.

Cheng kemudiannya membuat laporan polis berhubung ugutan terbabit.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Ipoh Barat Aldrich Low Guo Nan berkata, taktik individu terbabit yang mendakwa pembunuh upahan dan meminta wang adalah tindakan gila dan mungkin satu penipuan.

“Saya percaya mangsa bukan individu pertama diperdaya. Kami minta orang ramai berhati-hati dengan sebarang panggilan telefon yang meminta wang dengan pelbagai alasan membabitkan jenayah dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 2:13 PM