K Rajah (dua kiri) dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak dengan bersenjatakan pisau terhadap seorang wanita pada 29 Januari lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


LELAKI yang melarikan wang tunai RM300 dan telefon bimbit semasa merompak seorang wanita Januari lalu, menerima padah apabila Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadapnya.

Hakim Zulhazmi Abdullah juga memerintahkan tertuduh, K Rajah, 42, menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Rajah mengaku bersalah merompak Norehan Abdul Rahman, 30, di rumahnya beralamat di Taman Mahkota, Jalan Yakin 1/3, Off Jalan Stadium, di sini, pada 29 Januari lalu, kira-kira 3 petang.

Mahkamah turut menimbangkan fakta kes, hujah pendakwa raya, rayuan tertuduh serta kenyataan impak mangsa.

Selain wang tunai RM300, tertuduh yang bersenjatakan pisau turut melarikan telefon bimbit Oppo Neo 7 milik mangsa.

Dalam rayuannya tertuduh memohon dikenakan hukuman ringan dan memberitahu mahkamah, dia positif HIV serta menanggung tiga anak berusia lapan, sembilan dan 11 tahun yang dijaga kakaknya selain ibu yang uzur.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta sebatan.

Sementara itu, Norehan dalam kenyataan impak mangsa berkata, dia mengalami trauma yang berpanjangan sejak kejadian rompakan itu dan peristiwa hitam itu tidak mudah lenyap daripada ingatannya.

"Perasaan saya ketika rompakan itu, terkejut dan takut serta trauma sampai hari ini kerana dia (tertuduh) mengacukan pisau dan mengugut untuk tikam dan bunuh saya jika buat apa-apa.

"Sampai hari ini saya trauma takut ada orang masuk rumah, sampaikan apabila bunyi bising di luar rumah, saya dan ibu jadi takut.

"Saya kehilangan wang RM300, telefon bimbit dan dompet mengandungi dokumen peribadi selain terpaksa menukar kad pengenalan, kad bank baru dan dokumen lain," katanya ketika memberikan keterangan bersumpah hari ini.

Ketika ditanya oleh Eliana apa bentuk hukuman yang diharapkan terhadap tertuduh, mangsa mahu tertuduh dikenakan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 6:24 PM