Anggota APM aktif menangkap ular semasa musim banjir banjir baru-baru ini.
Rosliza Mohamed


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan menangkap hampir 2,000 ular pelbagai spesis termasuk di kediaman, ladang dan kandang ternakan di Kota Bharu pada musim tengkujuh, tahun ini.

Pegawai Operasi APM Pusat Kawalan Daerah Kota Bharu, Leftenan Muda Muhamad Awang berkata, 60 peratus adalah ular jenis sawa batik, tedung selar, rusuk kerbau dan katam tebu anggaran sepanjang satu hingga lima meter serta beratnya mencecah sehingga 80 kilogram.

Katanya, reptilia itu ditangkap pada musim tengkujuh iaitu Januari, Februari dan November lalu.

"Ular ditangkap menggunakan peralatan khas yang mengambil masa antara tiga minit hingga setengah jam kerana kebanyakan bersembunyi dalam lubang.

"Reptilia yang ditangkap itu akan disimpan dalam sangkar bagi tempoh antara dua hingga tiga minggu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, untuk tindakan selanjutnya," katanya hari ini.

Beliau berkata, sejak Januari hingga hari ini, kira-kira 4,000 ekor ular pelbagai spesis ditangkap berbanding tahun lalu lebih 3,000 ekor.

Katanya, APM Kelantan menyediakan perkhidmatan 24 jam kepada orang ramai yang membabitkan seramai 100 anggota di seluruh negeri bagi membantu penduduk yang berdepan dengan masalah haiwan berkenaan.

"Purata sehari panggilan yang diterima ialah sebanyak 30 kali membabitkan tangkapan ular ketika banjir, berbanding lima hingga 10 panggilan sehari pada hari biasa.

"Ular mencari tempat perlindungan baru ketika banjir dan lazimnya masuk ke kediaman penduduk ketika mereka berada di pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Sehubungan itu, penduduk yang dilanda banjir dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelak reptilia itu mendiami rumah mereka sama ada di dapur dan siling.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 8:38 PM