PINTU premis  farmasi yang dipecah masuk perompak. semalam.
PINTU premis farmasi yang dipecah masuk perompak. semalam.
HM Digital

Nilai: Lima jam tempoh menyeksakan bagi tiga pengawal keselamatan yang diikat empat penyamun dipercayai warga Myanmar dan Vietnam sebelum diselamatkan dalam kejadian samun di kedai emas dan farmasi di Bandar Baru Nilai, semalam.

Ketiga-tiga pengawal keselamatan ditemui dalam keadaan tangan terikat pada jam 6.20 pagi oleh seorang lelaki sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, dalam kejadian jam 2 pagi, keempat-empat suspek bertopeng dan bersenjatakan parang memasuki bangunan yang turut menempatkan pasar raya dengan memanjat pagar belakang.

Beliau berkata, suspek menahan tiga pengawal keselamatan yang bertugas di pintu hadapan lalu membawa mereka ke dalam pasar raya.

“Suspek mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan dengan tali nilon. Pada masa sama, suspek memecahkan pintu kedai emas.

“Sebaik memecah peti besi, suspek melarikan wang tunai serta barang kemas namun jumlahnya belum dipastikan,” katanya.

Zaldino berkata, siasatan mendapati suspek turut merosakkan dan melarikan alat perakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai emas terbabit.

“Kejadian disedari empat jam kemudian apabila pekerja tiba di lokasi dan menemui pengawal keselamatan dalam keadaan terikat. Lelaki itu segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini meneliti rakaman CCTV di bangunan itu bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 5:21 AM