KERETA mangsa yang remuk akibat kemalangan di Jalan Saujana Impian, Kajang, kelmarin
HM Digital

Kajang: Tiga individu termasuk seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan lima kereta dan dua motosikal di Jalan Saujana Impian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, lima kereta yang terbabit dalam kemalangan berkenaan adalah Honda City, Proton Saga BLM, Proton Wira Aeroback, Toyota Vios dan Naza Citra selain dua motosikal.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, kemalangan berlaku apabila dua kereta dari arah ibu kota menghala ke Semenyih, di sini, berlanggar sebelum kedua-dua kenderaan itu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kedua-dua kereta itu kemudian dilanggar tiga kereta lain dan dua motosikal di laluan bersebelahan akibat tidak sempat mengelak.

“Akibat kemalangan itu, seorang pemandu patah tiga jari kaki kanan, selain seorang wanita yang juga penumpang kereta mengalami gegaran otak dan seorang penunggang motosikal retak tulang paha kanan dan patah tulang rusuk,” katanya.

Katanya, semua mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 6:35 AM