NUR Asilah menguruskan keperluan harian Siti Rohana yang terlantar selepas diserang angin ahmar.
HM Digital

Kota Bharu: Seorang gadis sanggup berkorban tidak mendirikan rumah tangga demi menjaga ibunya yang terlantar akibat angin ahmar sejak tiga tahun lalu.

Nur Asilah Mohd Asri, 31, menggalas tugas berkenaan sepenuh masa sejak lima bulan lalu berikutan keadaan ibunya, Siti Rohana Mohmed Nor, 50, yang semakin kronik.

Katanya, asalkan ibunya pulih kembali, dia sanggup mengorbankan kebahagiaannya kerana menganggap itu saja cara membalas jasa wanita yang melahirkannya ke dunia ini.

“Sebelum ini, mak boleh berjalan dan bergerak, namun lima bulan kebelakangan ini keadaannya semakin teruk dan hanya terlantar.

“Matanya juga rabun teruk, dia pula lumpuh dari bahu hingga ke kaki, tidak boleh bercakap dan tiada respons sekiranya kita berinteraksi menyebabkan saya sentiasa perlu ada disampingnya.

“Serangan lalu yang terbaru dia kena. Sebelum ini dia hanya lumpuh sebelah badan saja. Disebabkan itu saya berkorban untuk menjaganya dan mak perlu sentiasa diberi susu setiap empat jam sekali, lampin perlu ditukar setiap kali buang air besar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bilok, Banggu di sini, semalam.

Nur Asilah yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, ibunya dipakaikan tiub kencing bagi mengelak luka di bahagian punggungnya semakin teruk.

Rutinnya turut membersihkan luka pada badan Siti Rohana disebabkan terlantar lama dan menyapu ubat sebelum ia dibalut bagi mengelak jangkitan kuman.

Nur Asilah berkata, bapanya, Mohd Asri Ismail, 58, juga menghidap angin ahmar dan lumpuh sebelah tubuh sejak lima tahun lalu, namun boleh bekerja di Bahagian Pentadbiran, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 6:39 AM