Mangsa banjir terpaksa berpindah ke empat PPS disediakan di Kota Belud.
Recqueal Raimi


MANGSA banjir di Kota Belud meningkat kepada 1,829 orang sehingga jam 9 pagi, hari ini, berbanding 409 orang pada 9 malam, semalam.

Mereka ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi 2, Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud dan Dewan Sekolah Menengah Agama Tun Said.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan mangsa semakin bertambah dan pihak berkuasa mungkin akan membuka satu lagi PPS.

"Satu lagi PPS di Dewan Kompleks Sukan Butong sedia dibuka untuk penempatan mangsa sekiranya banjir bertambah buruk.

"Hujan lebat semalam menyebabkan mangsa bertambah dan APM serta agensi lain masih giat memantau bagi mengenal pasti penduduk yang perlu dipindahkan ekoran cuaca mendung pagi ini," katanya.

Mohd Izaimi berkata, 26 kampung yang terjejas ialah Kampung Donggoi, Kampung Marajah, Kampung Gunding, Kampung Sadok-Sadok, Kampung Sembirai, Kampung Lingkodon, Kampung Linau, Kampung Lebak Moyoh, Kampung Bobot dan Kampung Suang Punggur.

Selain itu Kampung Menunggui, Kampung Song-Song, Kampung Sangkir, Kampung Karang Benai, Kampung Kota Bungan, Kampung Tawadakan, Kampung Lentigi, Kampung Tanjung Wakap, Kampung Lebak Engad, Kampung Keranjangan, Kampung Rangalau, Kampung Tombol, Kampung Siasai Tamu, Kampung Limatok, Kampung Pompod dan Kampung Kota Belud.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 10:59 AM