Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dalam kemalangan di Kampung Teluk Memali dekat Bota. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi


TIGA maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Memali di Bota, 7.20 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa yang maut ialah seorang lelaki dan dua wanita.

"Manakala pemandu lori dan kelindannya selamat.

"Mayat dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk tindakan lanjut," katanya.

Difahamkan, mangsa yang maut menaiki Proton Saga terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang remaja perempuan dipercayai adik pasangan itu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar menerima maklumat kejadian pada 7.26 pagi.

Katanya, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi dengan turut dibantu BBP Teluk Intan.

"Sebaik tiba di lokasi bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori dan Proton Saga masuk ke dalam parit berair.

"Dipercayai tiga mangsa terperangkap di dalam kereta dan bomba membantu mengeluarkan mangsa," katanya.

Beliau berkata, operasi diketuai Zaipul Affendy Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 11:32 AM