Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin (kiri), Pengarah Eksekutif Mydin Datuk Murad Al-Mydin, Ketua Pegawai Eksekutif AmMetLife Noor Azam Mohd Yusof dan Ketua Corporat Comm & Marketing Ambank Tuan Syed Annuar Syed Ali di MyDin Mall, Subang Jaya pada pelancaran takaful iMeriah. (Gambar kecil) Pelanggan MyDin (kiri) Nor Hayati Khairullah, Elaine Teh dan Surinder Kaur menunjukan kad iMeriah Mydin. FOTO Amirudin Sahib.
Nabil Basaruddin


MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin) bekerjasama dengan AmMetLife Takaful Berhad (AmMetLife Takaful) melancarkan perlindungan takaful, iMeriah khusus untuk pemegang kad Meriah Mydin di seluruh negara.

Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pemegang kad Meriah Mydin perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM600 di pasar raya Mydin terpilih dalam tempoh sebulan dan akan mendapat perlindungan pada bulan berikutnya.

Beliau berkata, perlindungan takaful itu adalah percuma kerana kos berkenaan ditanggung oleh Mydin yang mana tiada kos dikenakan ke atas pelanggan.

“Tempoh perlindungan iMeriah adalah selama sebulan dan akan diperbaharui setiap kali kriteria perbelanjaan bulanan minimum RM600 dipenuhi oleh ahli kad Meriah Mydin.

“Apabila berlaku kematian terhadap ahli kad Meriah Mydin yang dilindungi, penama akan dibenarkan berbelanja RM300 setiap bulan di Mydin bagi barang keperluan harian selama 12 bulan,” katanya pada majlis pelancaran takaful iMeriah di Subang Jaya di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Ameer Ali mewakili Mydin, manakala AmMetLife Takaful oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azam Mohd Yusof disaksikan oleh Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali dan Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin.

Tambahnya, sekiranya jumlah manfaat tidak digunakan sepenuhnya oleh penama dalam tempoh 12 bulan, baki manfaat akan diberikan dalam bentuk baucar beli-belah Mydin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 1:39 PM